“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah an-Nisa’[4]:32)
Bukankah suatu yang tersangat malang, tatkala manusia tertipu dengan definasi dan tuntutan “persamaan.” Di satu pihak, tepatnya para penyokong ideologi sekularalis, mereka memperjuangkan hak persamaan antara lelaki dan wanita, hinggakan apa yang justeru sesuai dikerjakan oleh orang lelaki, turut ingin dikerjakan oleh para wanita. Di pihak yang satu lagi, tepatnya aktivis gerakan Islam, pemahaman mereka terhadap persamaan, ialah mewajibkan umat Islam untuk seiya sekata dengan duduk dalam sesebuah jemaah semata-mata.
Persamaan, andainya didefinisikan seperti pokok pemahaman golongan di atas tadi, justeru bukan melimpahkan kebahagiaan, melainkan membiakkan kekacauan. Bayangkan saja bidang kejuruteraan misalnya. Andai semua jurutera ingin menjadi jurutera elektrik semata-mata, siapa yang harus dipersalahkan andai bangunan runtuh, lantaran hal-ehwal bangunan merupakan spesialisasi para jurutera awam? Andai semua jurutera mahu menjadi jurutera awam, siapa yang bisa diharapkan untuk mereka, memperbaiki dan memodenkan mesin, lantaran itu merupakan kepakaran para jurutera mekanik?
Sebegitu juga, andai para doctor sepakat untuk mencari “persamaan”, lalu semuanya tertumpu menjadi pakar bedah, siapa yang bisa menyelesaikan masalah perbidanan wanita-wanita anda, lantaran tiada lagi para pakar O&G (perbidanan)? Siapa lagi yang bisa menjaga para kanak-kanak yang punya masalah, lantaran tiadanya mereka yang sudi menjadi pakar pediatric?
Maka, agama suci ini menetapkan peranannya untuk para pria dan wanita, berbeda-beda, agar kita bisa “menikmati” perbedaan itu. Urusan lelaki memerlukan kekerasan dan kekuatan, sedangkan urusan wanita memerlukan kelembutan dan kasih sayang. Hingga wajar, lelaki ditaklifkan dengan beban mencari nafkah dan memimpin, sedang wanita ditugaskan dengan urusan menjaga dan mendidik anak.
Itulah sebabnya, dalam kisah kehidupan Nabi Ismail, yang ditingkalkan bersamanya di tempat yang tandus iaitu Mekah justeru ibunya, Siti Hajar. Lantaran dengan kasih dan sayangnya, dengan naluri kewanitaannya, ia gagahkan diri bolak-balik antara Shafa dan Marwah sehingga kekuatannya habis. Pantas, ALLAH abadikan kisah ini sebagai sebahagian dari pelaksanaan ibadah haji.
Begitu pula dengan kisah penyembelihan Nabi Ismail. Yang memainkan peranan di sini adalah Nabi Ibrahim. Di mana watak Hajar dalam kisah ini? Hajar tidak disebut kerana peristiwa ini –menurut Syeikh Mutawalli as-Sya’rawi- bertolak belakang dengan sikap kasih dan sayangnya. Sebegitulah, setiap orang mengemban misi dan tugasnya masing-masing, sedangkan keberhasilan tergantung dari seberapa besar cubaan yang diberikan.
Dengan meningkatnya statistic jenayah di Malaysia, bukankah baik andainya kita refleksikan dengan perubahan sosio-budaya juga ekonomi masyarakat kita. Tugas mencari rezeki, diemban bukan hanya lelaki, juga wanita. Sedang tugas mendidik anak, diserahkan kepada para pembantu rumah yang “diimport.” Manusia tidak lagi menghargai perbedaan. Semuanya berebut-rebut mencari “persamaan”, malangnya persamaan yang justeru seharusnya berbeda. Tidak kira non-Islamik mahupun aktivis dakwah. Slogan “kerjasama dalam hal disepakati, berlapang dada dalam hal yang tidak disepakati” tidak lagi dihargai. Kita tidak lagi menghargai perbedaan, sedang perbedaan itu, tidak semestinya membinasakan. Maka renungkanlah, bukankah sebahagian perbedaan itu, justeru rahmat dan suatu kenikmatan?
No comments:
Post a Comment